SUNGAI PETANI: Penduduk dan peniaga luar bandar kini digalakkan berjual beli menggunakan pembayaran secara elektronik atau pembayaran tanpa tunai, e-Duit.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar berkata, langkah ini diambil bagi memastikan penduduk luar bandar dan usahawan mikro tidak ketinggalan dalam perkembangan era digital menggunakan pembayaran secara elektronik atau e-pembayaran yang menawarkan pelbagai manfaat.

Beliau berkata, pandemik COVID-19 baru-baru ini telah menunjukkan lebih ramai pengguna dan peniaga mula membiasakan diri menggunakan pelbagai kemudahan e-pembayaran seperti kad debit, kad kredit, kod QR, perbankan internet serta e-dompet.

"Sebagai alternatif kepada wang tunai e-pembayaran dapat membantu orang ramai menjimatkan masa dan tenaga untuk membuat transaksi tanpa perlu keluar rumah tanpa perlu bersusah payah mencari parking dan tanpa perlu beratur panjang semata-mata untuk mengeluarkan cash atau wang tunai di bank atau di mesin ATM semua transaksi boleh dijalankan di hujung jari sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program e-Duit Desa di Jeniang, hari ini.

Katanya, BNM telah bekerjasama dengan industri dan melancarkan kempen dengan tiga objektif utama antaranya meningkatkan kesedaran orang ramai, membina keyakinan terhadap pembayaran tanpa tunai, mempercepatkan penggunaan dan meningkatkan bilangan transaksi.

Katanya, usaha ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengajaran kepada orang ramai supaya menggunakan kaedah ini secara selamat.

"Bank Negara bersama institusi perbankan dan kerjasama daripada kerajaan negeri Kedah sentiasa komited untuk memastikan supaya penggunaan e-pembayaran di kalangan orang ramai dapat dipertingkatkan lagi di kawasan luar bandar dah meningkat.

"Kita akan turun padang untuk memastikan peningkatan yang lebih tinggi lagi salah satu usaha kita ialah untuk meningkatkan juga dari segi kesedaran dari segi pengumuman pengajaran kepada orang ramai supaya cara-cara untuk menggunakan e-Pembayaran secara selamat," katanya.

Jelas beliau, keseluruhan pembayaran secara elektronik ini tidak lagi dilaksanakan di kawasan bandar atau lokasi tumpuan semata-mata sebaliknya telah turut diamalkan penduduk luar bandar dan peniaga mikro.

Dalam perkembangan sama, Mohd Muazzam berkata, pelaksanaan program e-Duit Desa yang pertama di negeri ini diharap akan dapat merealisasikan hasrat menjadikan daerah ini sebagai Desa Tanpa Tunai.

Seramai 107 peniaga di sekitar Jeniang telah menggunakan kemudahan e-pembayaran pada peringkat awal dan jumlah ini akan meningkat secara berperingkat.

Sementara itu, Bank Islam turut mengadakan kempen khusus untuk peniaga-peniaga yang telah mendaftar aplikasi GO Biz By Bank Islam yang mana mereka berpeluang memenangi ganjaran menarik.